Tuesday, August 26, 2008

PENJELASAN MENGENAI DAKWAAN PIHAK PKR BAHAWA 949 NAMA PEMILIH HILANG DARI DAFTAR PEMILIH PILIHAN RAYA KECIL P.044 PERMATANG PAUH - REF: www.spr.gov.my

1. Akhbar The STAR dimuka surat 8 keluaran Isnin 25 Ogos 2008 membawa berita bahawa pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa seramai 949 nama pemilih yang kebanyakkannya penyokong-penyokong mereka yang ada di dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 dikatakan telah hilang daripada Daftar Pemilih yang dikemaskini sehingga 31 Julai 2008 yang akan digunapakai dalam Pilihan Raya Kecil P.044 Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008. Semakan yang dibuat oleh SPR dengan pengkalan data pemilih mengesahkan bahawa tuduhan yang dibuat itu adalah kurang tepat dan mungkin boleh mengelirukan para pembaca berita tersebut.

2. Untuk makluman para Pemilih Berdaftar dalam bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh khususnya dan juga untuk makluman orang ramai amnya,terdapat seramai 58,449 orang Pemilih Berdaftar dalam PRU ke-12. Semasa tempoh urusan Pendaftaran dan Penyemakan Daftar Pemilih untuk Suku Tahun Pertama 2008 yang bermula dari 1 Januari sehingga 31 Mac 2008, terdapat tambahan seramai 484 orang pemilih yang terdiri daripada 372 orang pemilih baru dan 112 permohonan daripada pemilih-pemilih berdaftar di Bahagian-bahagian Pilihan Parlimen yang lain untuk membuat permohonan pertukaran Pusat Mengundi ke bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh. Apabila angka tambahan sebanyak 484 orang pemilih ini dicampur dengan 58,449 orang pemilih yang sedia ada dalam Daftar Pemilih PRU ke-12, ia menjadikan angka keseluruhan pemilih di bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh sebanyak 58,933 pada 31 Mac 2008.

3. Walaubagaimanapun, SPR telah membuat pemotongan seramai 173 orang pemilih dalam Suku Tahun Pertama 2008 iaitu 84 orang Pemilih Berdaftar di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh yang telahpun memohon untuk bertukar alamat Pusat Mengundi keluar daripada bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh serta telah membuat 89 lain – lain pemotongan kerana kematian dan sebagainya. Justeru itu, apabila ditolak angka 58,933 orang pemilih seperti yang diterangkan di para 2 di atas dengan jumlah pemotongan sebanyak 173 orang pemilih dalam tempoh yang sama iaitu Suku Tahun Pertama 2008, maka bilangan pemilih berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh pada 31 Mac 2008 adalah seramai 58,760 orang pemilih. Angka ini telah pun diwartakan pada 19 Jun 2008.

4. Dalam Suku Tahun Kedua yang bermula daripada, 1 April sehingga 30 Jun 2008, SPR telah membuat pemotongan seramai 143 orang pemilih kerana kematian,lucut hak warganegara dan sebagainya. Kesemua 143 nama pemilih itu telahpun dipamerkan semasa urusan pameran Rang Daftar Pemilih Suku Tahun Kedua yang dibuat pada 21 sehingga 27 Julai 2008.

5. Selain daripada itu, SPR juga telah membuat pemotongan tambahan seramai 158 orang pemilih kerana telah meninggal dunia, silap pendataan, tiada rekod di JPN dan sebagainya dari 1 Julai sehingga 31 Julai 2008. Ini bermakna jumlah pemotongan yang telah dibuat oleh SPR dari tempoh 1 April sehingga 31 Julai 2008 adalah seramai 301 orang pemilih (143 campur 158). Dengan ini, angka terkini bilangan Pemilih Berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh pada 31 Julai 2008 adalah seramai 58,459 orang pemilih (58,760 orang pemilih tolak 301 orang pemilih).

6. Dengan penjelasan-penjelasan seperti yang dinyatakan di para 2 sehingga 5 di atas adalah diharapkan para Pemilih Berdaftar khususnya di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh dan juga orang ramai amnya akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai isu yang telah dibangkitkan oleh PKR ini.

7. Selain daripada itu, sekali lagi ditegaskan bahawa maklumat peribadi Pemilih Berdaftar di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh yang telah dikemaskini oleh SPR pada 31 Julai 2008 adalah sama dengan Daftar Pemilih Pilihan Raya yang telah diserahkan kepada setiap orang calon yang bertanding pada Hari Penamaan Calon yang diadakan pada 16 Ogos 2008. Justeru itu, mana-mana Pemilih Berdaftar dalam Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.044 Permatang Pauh yang hendak mengetahui dengan lebih tepat mengenai tiga perkara iaitu nama Pusat Mengundi tempat seseorang pemilih akan mengundi pada 26 Ogos 2008, nombor saluran mengundi masing-masing Pusat Mengundi tersebut dan juga nombor siri pemilih yang tersenarai di dalam Buku Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi tempat (saluran) mengundi berkenaan bolehlah dibuat melalui salah satu daripada tiga sistem semakan seperti berikut:

7.1 Melalui semakan laman web SPR dengan melayari www.spr.gov.my dan klik kepada Permatang Pauh.

7.2 Melalui perkhidmatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR nombor kad pengenalan dan hantar kepada 15888; atau

7.3 Melalui semakan dengan BIlik Gerakan Pilihan Raya Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang melalui talian 04-2617692 dari jam 8.00 pagi sehingga 12.00 malam pada 25 Ogos 2008.

Sekian,terima kasih.

“Berkhidmat Untuk Negara”

Saya Yang Menurut Perintah,


(DATUK HAJI KAMARUZAMAN BIN HAJI MOHD NOOR)
Setiausaha,
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.
Tarikh: 25 Ogos 2008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...